Friday, 31 August 2012

Persoalan Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

BINNADWAH JMTi 2012.


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.




Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)


Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Tulisan Dr. Hj Zaharuddin Abd Rahman (http://www.zaharuddin.net/)


BINNADWAH JMTi 2012.

Wednesday, 29 August 2012

Alhamdulillah...

BINNADWAH JMTi 2012.

Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah dan setinggi-tinggi syukur kepada Allah s.w.t kerana Progam Ihya Ramadhan telah berjaya kami laksanakan untuk pelajar dan staf JMTi sepanjang Ramadhan yang lalu (21/8/2012-13/9/2012).
Sedikit serlingan bagi program yang telah dijalankan:

Bubur kacang bagi program moreh





Berbuka puasa bersama non-muslim























Iftar Jam`ie bagi peserta tadarus Al-Quran











Terima kasih kepada yang terlibat dan menyertai dalam aktiviti-aktiviti Ihya Ramadhan ini. Semoga program yang akan datang dapat kami pertingkatkan... InsyaAllah.


BINNADWAH JMTi 2012.

Sunday, 5 August 2012

Majlis Berbuka Puasa Binnadwah bersama MPP JMTi..

BINNADWAH JMTI 2012.

Assalamualaikum w.b.t dan salam 1 ummah..
Alhamdulillah 1 majlis berbuka puasa telah brjaya dijalankan oleh ahli-ahli binnadwah pada tarikh 2 Ogos 2012 (khamis) di surau Jannatul Firdaus JMTi.

 Makan dalam dulang mengeratkan ukhwah

 akhwat mengambil juadah berbuka di dewan makan

 persediaan sebelum berbuka





 menu untuk majlis berbuka





Semoga hubungan ukhwah antara kami bertambah erat dan semoga Binnadwah terus maju untuk melakukan tugas yang telah diamanahkan.


BINNADWAH JMTi 2012.

Monday, 23 July 2012

Program Ihya Ramadhan~

BINNADWAH JMTI 2012.

Sempena bulan Ramadhan tahun ini, Jawatankuasa Pembangunan Kerohanian dan Binnadwah mengada beberapa aktiviti sepanjang bulan tersebut yang bertemakan "Penyucian Jiwa". Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah:

1) Solat Terawih berjemaah disurau Jannatul Firdaus
2) Checklist amalan sepanjang Ramadhan
3) Kempen penghayatan Ramadhan
4) Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran
5) Pertandingan Hafazan Al-Quran
6) Berbuka puasa bersama non-muslim
7) Moreh beramai-ramai di surau Jannatul Firdaus



Warga JMTi sama ada pelajar dalam dan luar asrama digalakkan menyertai aktiviti yang telah disediakan.
Saham yang anda tanam kepada kami, andalah yang perlu menuainya kembali! 
 Anda buat, anda dapat...Ayuh, berjemaah dalam melakukan kebaikan! - Ustazah Haslinda Bt. Nordin

BINNADWAH JMTI 2012.

Friday, 20 July 2012

Kesilapan Kerap Dalam Bulan Ramadhan

BINNADWAH JMTI 2012.


Segala puji bagi Allah yang menjadikan bulan Ramadhan lebih baik dari pada bulan-bulan lainnya dengan menurunkan al-Qur`an dan mewajibkan puasa bagi kaum muslimin sebagai salah satu pondasi Islam. Selawat dan salam dicurahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyampaikan kepada kita tentang ibadah-ibadah dibulan Ramadhan dan memberikan contoh kepada kita bagaimana sebaiknya menghidupkan bulan bulan yang penuh berkah ini.

Tetapi kita sering terlepas pandang  kesilapan kita pada bulan Ramadhan menyebabkan kesempurnaan pahala kerap kali tergugat. Antara perkara yang sering muslim lakukan pada bulan Ramadhan ini ialah:

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

 2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138) 3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

 4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya. 

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam. 

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, 
"Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari) 

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini. 

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291) 

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur hingga tidak puasa. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Atau jangan sesekali masih makan melepasi waktu imsak lalau mengganggap puasanya sudah terbatal. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278) 

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid. 

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih) 
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri. 

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-


ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )  
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. 

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد 
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

 Semoga kita termasuk di antara orang-orang yang mendapat taufik dari Allah dan semoga kita mendapat kebaikan dan keberkahan bulan Ramadhan. Wallahu A'lam.


Rujukan: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

BINNADWAH JMTI 2012.

Saturday, 14 July 2012

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

BINNADWAH JMTI 2012


“Ya Allah sesungguhnya Engkau telah menaungi kami dengan bulan ramadhan, ramadhan akan tiba maka hantarkanlah ia kepada kami dan sampaikanlah kami kepadanya, berikakanlah rezeki kepada kami dengan berpuasa dan shalat, anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan kesungguhan serta kesiapan, lindungilah kami dari fitnah.”


Telah kita ketahui beberapa hari lagi menjelang, tibalah bulan Ramadhan. Adakah kita sudah bersedia untuk Ramadhan pada tahun ini? adakah kita sudah membuat checklist amalan kita?


contoh list amalan pada bulan Ramadhan

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun. Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja? Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya, bukan? Sebab apa saya katakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!
Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman. Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.
Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.

Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan. Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.

Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori, kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.

Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah jangan berlebih sehingga tertelan.

Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang  masih buta akal dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti, semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar. Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih Ada Manusia Yang Mendustakan?
Pada bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan. Semoga kita juga dapat lakukan ibadah secara istoqamah bukan sahaja pada bulan Ramadhan. Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.

p/s: Jangan lupa untuk niat puasa...



~Nantikan program Ramadhan yang akan dijalankan oleh Binnadwah~

BINNADWAH JMTI 2012