Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Friday, 31 August 2012

Persoalan Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

BINNADWAH JMTi 2012.


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.




Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)


Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Tulisan Dr. Hj Zaharuddin Abd Rahman (http://www.zaharuddin.net/)


BINNADWAH JMTi 2012.

Saturday, 14 July 2012

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

BINNADWAH JMTI 2012


“Ya Allah sesungguhnya Engkau telah menaungi kami dengan bulan ramadhan, ramadhan akan tiba maka hantarkanlah ia kepada kami dan sampaikanlah kami kepadanya, berikakanlah rezeki kepada kami dengan berpuasa dan shalat, anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan kesungguhan serta kesiapan, lindungilah kami dari fitnah.”


Telah kita ketahui beberapa hari lagi menjelang, tibalah bulan Ramadhan. Adakah kita sudah bersedia untuk Ramadhan pada tahun ini? adakah kita sudah membuat checklist amalan kita?


contoh list amalan pada bulan Ramadhan

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun. Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja? Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya, bukan? Sebab apa saya katakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!
Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman. Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.
Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.

Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan. Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.

Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori, kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.

Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah jangan berlebih sehingga tertelan.

Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang  masih buta akal dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti, semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar. Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih Ada Manusia Yang Mendustakan?
Pada bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan. Semoga kita juga dapat lakukan ibadah secara istoqamah bukan sahaja pada bulan Ramadhan. Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.

p/s: Jangan lupa untuk niat puasa...



~Nantikan program Ramadhan yang akan dijalankan oleh Binnadwah~

BINNADWAH JMTI 2012

Tuesday, 10 July 2012

Iktibar daripada kisah Nakhoda Manis versi Moden

BINNADWAH JMTI 2012.




Nakhoda Manis ?
Anda pasti tertanya-tanya..
Pahlawan Melayu mana pula ni..
Bukan, bukan pahlawan Melayu.
Kisah si Nakhoda Manis ni, persis-persis seperti kisah Si Tanggang ataupun Malin Kundang.
Anda kenal mereka berdua?
Pasti kenal bukan.
Walaupun peristiwa ini berlaku di beberapa tempat berbeza. Seperti contoh, Si Tanggang di Bukit Treh Muar , Malin Kundang di Bukit Tinggi Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei…
namun, persamaan kisah ini membuktikan bahawa di bumi manapun anda berpijak, hatta di hemisfera utara sekalipun, kisah si anak derhaka ini pasti akan kedengaran. Jika bukan anda gerangannya, mungkin orang lain. Jika bukan orang lain, takut-takut …….
minta dijauhkan. Naudzubillah !
Lalu, sebagaimana mestinya kisah-kisah seperti ini berlaku pada zaman moden ?
Kisah Si Tanggang, Malin Kundang dan Nakhoda Manis versi moden
Mungkin zaman ini, belum pernah lagi kelihatan manusia disumpah menjadi batu, dek kerana kederhakaan mereka kepada kedua ibu bapa.
Belum juga pernah kelihatan harta-harta mereka disumpah menjadi batu ataupun segala macam jenis batu galian, rumah batu mungkin. Tetapi…
Kisah Si Tanggang versi moden ini sememangnya lebih dasyat berbanding dahulu. Usahlah saya sebutkan kisah-kisah kederhakaan yang besar-besar, cukuplah kadar yang kecil-kecilsahaja. Supaya kita tahu, bahawa, itu sebenarnya salah dan perlu dijauhi.
Cuba kita tanyakan persoalan ini ke dalam diri kita ?
1) Orang yang membuat ayah ibunya menangis, apakah ia mengasihi mereka ?
2) Anak gadis yang membuat ayah ibunya sesak dada dan sakit hati, apakah ia mengasihi mereka ?
3) Orang yang sering gagal dalam peperiksaan , apakah ia mengasihi ayah ibunya saat dia masih lagi bermalasan untuk belajar ?
4) Seorang anak gadis yang berjalan dan berhubungan dengan lelaki bukan muhrim, apakah ia tidak mengasihi ayahnya ? Di manakah letak kehormatan dirinya ? Tahukah dia, apa yang akan terjadi jika sang ayah mengetahui itu semua ?
5) Pernahkah kita merajuk dengan ibu dan ayah kita, lalu kita mengurungkan bilik di kamar selama beberapa hari tanda protes ? Tidakkah itu semua membuatkan ayah dan ibu kita sedih ?
6) Kerapkah kita menelefon ayah dan ibu bertanya khabar mereka di kampung. Kebiasaannya si anak pasti akan menelefon ibu dan ayah untuk ;
- meminta wang
-memberitahu musibah ataupun kecelakaan.
-minta didoakan exam
Jarang sekali, kita menelefon ayah dan ibu saat kita gembira !
Tergamakkah kita, membiarkan hati mereka resah gelisah mendengar perkhabaran yang tidak enak tentang diri kita ?
(Dr Amr Khaled : Kasih Sayang kepada Ibu Bapa)
Kisah ibu dan ayah di dalam Al Quran
Antara banyak-banyak kisah di dalam Al Quran,
Saya begitu tertarik pabila melihat akhlak Nabi Ibrahim as ketika berinteraksi dengan ayahnya. Meski ayahnya seorang kafir, beliau tetap memulai dengan kata “Ya abati (wahai ayahanda) ” ketika mahu menegur ayahnya supaya beriman kepada Allah swt (Surah Maryam : 44) . Indah sungguh bukan ?
Lalu, lihatlah bagaimana akhlak kita ketika mahu menegur kesilapan kedua ibu bapa kita ?
Maklumla, orang yang baru bergiat dalam dakwah, semuanya salah. Ini haram ! Itu Haram !
Wahai rakan, perlahan-lahan,ketergesaan itu boleh jadi fitnah pada dakwah yang akan kita bawa.
Juga kisah-kisah seperti kisah Nabi Yusof dan ayahnya Nabi Yaakob, kisah Luqman Al Hakim menasihati anaknya, kisah Nabi Isa as yang masih bayi bersama ibunya Maryam, kisah Nabi Ibrahim as bersama anaknya Nabi Ismail as dan banyak lagi. Menunjukkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan ini dipelihara dalam Islam.
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kau berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan kepada mereka ucapan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua telah, mendidikku sewaktu masih kecil.” (al-Isra’: 23-24)

Ambillah iktibar dari pengorbanan mereka
Pagi tadi dalam perjalanan ke universiti,
Terpandang kelibat seorang ayah yang setia membonceng kedua-dua orang anak perempuannya yang masih kecil ke sekolah.
Bukan membawa kereta, tetapi motosikal. Meredah kesibukkan pagi yang sarat dengan kenderaan.
Kelihatan tangan si anak memeluk erat ayahnya. Takut mungkin. Namun, sesekali dilepaskan.
Saya tahu si ayah bimbangkan keselamatan anaknya. Dirangkul kembali tangan itu.
Sungguh, hati mana yang tidak sebak. Teringat akan ayah di kampung.
Sahabat,
Cuba seketika anda lihat sekeliling,
Anda bayangkan bagaimana jika pak cik si penjual Ice Cream itu ayah anda ?
Pak Cik si Petani itu ayah anda ? Pak Cik yang bekerja sebagai seorang buruh kasar itu ayah anda ?
Cuba bayangkan ?
Bayangkan jerih perih mereka ?
Kadangkala terpaksa bergolak gadai menjual tanah untuk menyekolahkan anakknya.
Itu baru satu kisah,
Belum disebut lagi kisah-kisah lain. Kisah si ayah yang rela dibunuh untuk menyelamatkan anaknya di Syria dan Palestin, kisah si Ibu yang memeluk erat anaknya di dalam runtuhan tanah di Jepun dan bermacam-macam lagi. Sungguh pengorbanan mereka tiada tolak taranya.
Maka, mulai saat dan detik ini, ayuh kita berazam ! Berazam untuk menjadi anak yang soleh. Supaya nanti tidak timbullah kisah
Si Tanggang 2.0 ! Malin Kundang 2.0 ataupun Nakhoda Manis 2.0 ! Yang heronya nanti adalah kita !
Wallahualam
Batu yang dipercayai Malin Kundang
ByAsyraf Farique 
http://myibrah.com/iktibar-daripada-kisah-nakhoda-manis-versi-moden


BINNADWAH JMTI 2012.